PN gesa kerajaan pastikan Selat Melaka PN kekal bebas daripada pengaruh asing

PERIKATAN Nasional (PN) menggesa kerajaan agar memantau rapat perkembangan geopolitik yang pantas berubah kini, sekali gus mengambil langkah proaktif bagi melindungi kepentingan nasional, kebebasan strategik negara dan kestabilan serantau.

Setiausaha PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, persaingan strategik dan ekonomi yang semakin memuncak antara kuasa besar, khususnya antara Amerika Syarikat dan China, jelas semakin mempengaruhi perkembangan yang berlaku di Asia Tenggara.

‘’Peningkatan kehadiran ketenteraan di perairan serantau, persaingan ke atas laluan perdagangan strategik, penyusunan semula rantaian bekalan serta tekanan ekonomi yang semakin ketara akan membawa implikasi besar kepada Malaysia dan rantau ini,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkembangan itu  jelas berisiko menjadikan Asia Tenggara sebagai medan baharu persaingan kuasa besar. Ia memaksa Malaysia supaya terus berwaspada bagi memastikan persaingan kuasa luar tidak menjejaskan keamanan serantau, kedaulatan negara serta daya tahan ekonominya.

‘’Justeru, PN suka menekankan kepentingan memastikan Asia Tenggara, khususnya Selat Melaka, kekal bebas daripada pengaruh asing, peningkatan kehadiran tentera atau tekanan strategik oleh mana-mana kuasa luar.

‘Sebagai antara laluan perdagangan maritim paling penting di dunia, sebarang peningkatan kehadiran strategik kuasa asing atau meluasnya usaha untuk mempengaruhi keadaan di Selat Melaka berisiko meningkatkan ketegangan geopolitik dan menggugat kestabilan serantau,’’ katanya.

Takiyuddin menegaskan, ketegangan di Laut China Selatan, peningkatan penempatan aset ketenteraan oleh kuasa besar serta konfrontasi ekonomi yang semakin melebar antara Washington dan Beijing terus meningkatkan keperluan untuk Malaysia mengekalkan dasar luar yang bebas dan seimbang, selain menghindari negara daripada terheret ke dalam penjajaran geopolitik berpihak.

‘’Sejak sekian lama Malaysia mendukung prinsip Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Prinsip ini kekal relevan pada ketika persaingan geopolitik semakin meningkat di Asia,’’ katanya.

Sehubungan itu kata beliau, PN menggesa kerajaan untuk memantau rapat perkembangan geopolitik dan ekonomi melibatkan kuasa-kuasa besar,memastikan Malaysia tidak terheret ke dalam persaingan strategik atau ekonomi asing, memelihara kedaulatan dan autonomi strategik negara dan mengekalkan neutraliti dan keterbukaan Selat Melaka daripada pengaruh kuasa luar serta memperkukuh kerjasama ASEAN bagi memastikan kestabilan serantau

‘’Malaysia perlu terus menggalakkan dialog, penyuraian ketegangan dan mengutamakan penyelesaian pertikaian secara aman. 

‘’Dalam keadaan ketidaktentuan global semakin meningkat, dasar luar yang bebas dan berprinsip amat penting bagi melindungi kepentingan jangka panjang negara serta kestabilan serantau,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img