SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina.
MCMC berkata, individu tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan semalam.
”MCMC turut menyita peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,’’ MCMC dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya itu menegaskan, mereka memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital untuk menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan orang ramai.
Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam.


