SEORANG pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyalah guna kad kredit milik rakannya sendiri, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Afiq Mohd Alfian, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyalahgunakan kad kredit AEON Credit milik seorang lelaki berusia 23 tahun dengan nilai transaksi sebanyak RM1,099 di AEON Credit Service (M) Sdn Bhd di Bangsar South City pada 6 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Syarifah Syifa Syed Baharom yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja di kilang serta pernah menjalani pembedahan di bahagian kepala.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Faezahnoor membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.


