KETUA Wanita Keadilan Pandan, Roasiah Ramli hari ini meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan berhubung status siasatan dakwaan rasuah melibatkan Ahli Parlimen Panda, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Katanya, dakwaan serius yang didedahkan sebuah portal tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia melibatkan tuduhan bahawa Datasonic Group Bhd (kini NexG Bhd) telah membayar rasuah sebanyak RM500,000 kepada orang tengah yang dikaitkan dengan Rafizi melalui syarikat GFIS (M) Sdn Bhd, berhubung Projek Vending Machine bernilai RM21.1 juta di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
‘’Persoalan yang masih belum dijawab apakah status siasatan Polis dan SPRM terhadap dakwaan ini? Lebih membimbangkan, Rafizi sendiri mengakui wujudnya pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri pada Disember lalu, di mana beliau diberitahu akan ada implikasi sekiranya skandal ini terbongkar. Jika benar tiada apa yang perlu disembunyikan, mengapa perlu ada “amaran” dari dalam kerajaan sendiri,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau.
Pada 7 Apri lalu, Rafizi menafikan beliau menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada pemilik NexG Bhd., Datuk Abu Hanifah Noordin bagi tujuan melanjutkan kontrak syarikat tersebut pada 2023.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, dakwaan yang dibuat sebuah blog tidak terkenal itu hanyalah tuduhan liar yang mana garis masa yang dinyatakan adalah tidak selari dengan realiti semasa pada ketika itu.
Menurut Rafizi, beliau tidak pernah berjumpa Abu Hanifah atau sesiapa dari NexG seumur hidupnya selain tidak kenal ‘watak utama’ pencitraan di dalam blog berkenaan iaitu Mohd Harizan Haris dari syarikat GFIS Sdn. Bhd.
Roasiah dalam kenyataan seterusnya berkata, sebagai Pengundi Parlimen Pandan, mereka juga menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa memberi kenyataan Rafizi mempunyai kaitan dengan skandal rasuah ini.
‘’ Jika benar wujud kenyataan atau maklumat sedemikian, ia tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa penjelasan rasmi. Rakyat berhak tahu kebenaran, bukan separuh cerita,’’ tegasnya.
Pada masa sama kata beliau timbul persoalan berapakah jumlah cukai yang telah dibayar Rafizi selepas bekas Menteri Ekonomi itu mengisytiharkan aset bersih sebanyak RM18,851,350.
‘’ Maka soalnya,? Seorang yang sering mengangkat naratif ketelusan tidak boleh memilih untuk berdiam diri apabila dirinya sendiri dipersoalkan.
‘’Lebih mengecewakan, ketika rakyat dihimpit kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang semakin menekan, beliau dengan mudah menghasut rakyat turun ke jalan raya seolah-olah beliau tidak terkesan langsung dengan realiti yang dihadapi oleh rakyat biasa,’’ katanya.
Roasiah turut menegaskan, realiti politik juga tidak memihak kepada Rafizi apabila kekalahan dalam pemilihan PKR 2025 kepada Nurul Izzah Anwar dengan jurang undi yang besar membuktikan bahawa sokongan terhadap beliau telah merosot dengan ketara, termasuk dari dalam parti sendiri.
‘’Di peringkat Cabang Pandan, sokongan terhadapnya juga semakin rapuh apabila usul berkaitan kepercayaan hanya bertahan dengan majoriti tipis,’’ katanya.
Di peringkat akar umbi pula, katanya hakikat yang tidak boleh disembunyikan ialah Ketua Kampung dan Ahli Majlis di Pandan hari ini dilihat lebih aktif turun padang berbanding Ahli Parlimen sendiri.
‘’Dahulu, ketika beliau menjawat jawatan Menteri Ekonomi, kami masih boleh memahami kekangan masa dan jadual rasmi yang padat. Namun hari ini, beliau bukan lagi Menteri, bukan lagi Timbalan Presiden PKR. Beliau adalah Ahli Parlimen Pandan dan Ketua Cabang PKR Pandan,’’ katanya.
Justeru, Roasiah mengingatkan Rafizi menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
‘’Jaga kawasan anda. Jaga rakyat anda. Mandat ini bukan lesen untuk berpolitik tanpa henti, tetapi amanah untuk berkhidmat. Jika kawasan sendiri gagal diurus dengan baik, bagaimana mungkin rakyat mahu terus percaya bahawa anda mampu membawa suara mereka ke peringkat nasional?
‘’Semua ini membawa kepada satu kesimpulan yang tidak boleh lagi dinafikan iaitu kepercayaan terhadap Rafizi Ramli sedang runtuh. Cukuplah sandiwara ini. Rakyat tidak perlukan lagi alasan atau penafian. Rakyat berhak kepada jawapan yang jelas. Akauntabiliti bukan pilihan. Ia adalah tuntutan,’’ katanya.
Sementara itu ketika dihubungi Utusan Melayu Plus, Roasiah menjelaskan, beliau sudah mengisytiharkan tidak menyokong Rafizi ketika Mesyuarat Agung Cabang Pandan.
‘’Ketika itu ada usul tidak percaya terhadap Ketua Cabang Pandan dan saya telah mengangkat tangan menyokong usul tersebut, jadi tidak ada isu yang dibangkitkan bahawa saya mengikut Rafizi,’’ katanya.
Roasiah berkata, beliau sudah mengisytihar tidak ikut Rafizi manakala Rafizi sendiri sudah mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya tanpa mengikut parti.
‘’Jadi apa lagi saya hendak tunggu, kalau Rafizi sendiri tak bertanding ikut Parti Keadilan sedangkan saya masih kekal menjadi ahli Keadilan sejak 1998. Saya akan membantu Calon Pandan daripada Keadilan (dalam pilihan raya nanti). Atas sebab itulah saya buat kenyataan bagi pihak parti saya,’’ katanya.


