Polis kesan dadah zombi ‘fentanyl’ dijual di premis vape

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penjualan dadah jenis furanyl fentanyl atau  diberi jolokan ‘zombi’ yang dipercayai 50 ke 100 kali lebih kuat daripada morfin dalam pasaran rokok elektronik (vape) secara terbuka kepada pelanggan tetap.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman melancarkan Op Vape 1.0 di seluruh negara bermula 13 April hingga Jumaat lalu membabitkan rampasan RM4.6 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu membabitkan 1,177 pegawai dan anggota JSJN dan 2,011 pegawai agensi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi.

Menurutnya, hasil serbuan itu, polis mengesan dadah furanyl fentanyl mula dijual di premis vape apabila menahan lima orang dalam serbuan berasingan.

“Dalam serbuan pada 13 April lalu, kita menahan seorang lelaki, seorang wanita dan seorang lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 31 tahun di sekitar Taman Bukit Cheras.

“Hasil pemeriksaan kita merampas sembilan botol putih mengandungi cecair dadah disyaki furanyl fentanyl seberat 16.8 kilogram (kg),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Hussein berkata, susulan tangkapan itu, pada Jumaat lalu, pihaknya menahan seorang lagi lelaki dan wanita berusia 22 serta 25 tahun di sekitar Taman Mastiara, Sentul.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis vape menemukan 155 katrij vape mengandungi dadah dipercayai furanyl fentanyl seberat 1.7 kg dan 22 peket plastik mengandungi serbuk dadah MDMA seberat 0.66 kg.

“Jumlah keseluruhan cecair furanyl fentanyl dirampas adalah 18.56 kg dengan nilai keseluruhan rampasan adalah RM2.8 juta,” katanya.

Katanya, lima individu itu berperanan sebagai penjaga kedai, pemilik, penjaga stor dan ‘runner’.

“Suspek direman sehingga 24 April ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang operasi Op Vape 1.0 ini, sebanyak 1,670 premis vape diperiksa dengan 728 didapati melanggar peraturan,” katanya.

Menurut Hussein, tangkapan keseluruhan membabitkan 20 orang dengan rampasan 8,091 peranti, 5,257 katrij dan 19.67 kg dadah.

“Turut dirampas cecair vape tidak mengandungi dadah seberat 186.54 kg dengan nilai keseluruhan RM4.6 juta.

“Sebanyak 487 kertas siasatan dibuka KKM dengan 142 premis diberi notis pematuhan, lima premis disita dan 1,149 dikompaun,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img