JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket pemalsuan data dan dokumen melibatkan warga asing menerusi Ops Serkap yang dijalankan di sekitar Selayang dan Desa Petaling, Selangor, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil risikan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berjaya membongkar taktik sindiket yang memanipulasi sistem imigresen negara.
Menurutnya, sindiket terbabit dikesan mengubah suai dokumen tulen seperti ePASS dan menggunakan pelekat palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Siasatan turut mendapati sindiket menyediakan dokumen lain termasuk pendaftaran perkahwinan serta laporan perubatan bagi tujuan permohonan melibatkan agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai beroperasi kurang dua tahun dengan rangkaian tertentu bagi memudahkan kemasukan dan keberadaan warga asing secara tidak sah di negara ini.
Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa menyita 11 pasport pelbagai negara, 15 keping i-kad, lima peranti digital, lima telefon bimbit serta sebuah mesin pencetak.
“Tiga individu berusia antara 35 hingga 45 tahun, terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warga Sri Lanka, turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek kini ditempatkan di depot imigresen dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.
Zakaria menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemalsuan dokumen melibatkan warga asing.
“JIM akan terus mempergiat penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk yang melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah,” katanya.


