Warga emas dipenjara empat bulan buat hantaran jelik terhadap institusi diraja

SEORANG warga emas dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran bersifat jelik terhadap institusi diraja menerusi akaun Facebook miliknya.

Mat Derus Ali, 64, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, Mat Derus didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui akaun Facebook `Mat Derus’ pada jam 2.15 pagi, 20 Ogos 2024.

Hantaran bekas kakitangan GiatMara itu dilihat di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) 1, Jalan Impact, Cyberjaya, kira-kira jam 12.59 tengah hari 21 Ogos 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya MCMC, Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal memandangkan kandungan yang dimuat naik bukan bersifat neutral atau wacana sah, tetapi penghinaan nyata terhadap institusi diraja.

“Kandungan tersebut turut mengandungi elemen provokasi kaum dan agama, termasuk naratif mengaitkan kaum tertentu yang berpotensi menanam rasa curiga, kebencian dan permusuhan antara komuniti dengan masyarakat majmuk serta mengapi-apikan emosi awam,” katanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim mengingatkan perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R) merupakan sentimen sensitif yang tidak seharusnya disentuh mana-mana pihak.

“Perkara 3R jangan buat main-main. Agama contohnya, kalau orang bukan Islam sentuh (mengenai) agama Islam, kamu marah bukan? Sebab itu, undang-undang (Malaysia) mengenakan hukuman berat (terhadap kesalahan 3R),” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img