KERAJAAN sedang meneliti secara mendalam isu bekalan bahan petrokimia susulan gangguan rantaian bekalan global akibat penutupan Selat Hormuz.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam dengan beberapa penelitian lanjut sedang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Pihak kerajaan cakna, faham dan prihatin terhadap kesan kepada rantaian bekalan akibat penutupan Selat Hormuz.
“Beberapa penelitian tambahan masih perlu dilaksanakan dan dapatan berkenaan dijangka dibincangkan semula dalam mesyuarat (MTEN) minggu hadapan,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet dan taklimat krisis tenaga global, hari ini.
Menurut beliau, sebagai langkah awal, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia mengumumkan mana-mana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menghadapi kesukaran boleh berunding dengan bank komersial bagi mendapatkan kelonggaran kewangan.
Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan kelangsungan operasi industri, khususnya sektor pembuatan dan pembungkusan makanan tidak terjejas sekiranya gangguan bekalan bahan mentah berterusan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, permohonan Gabungan Kelab Media Malaysia berhubung kuota 300 liter BUDI RON95 untuk pengamal media masih dalam pengetahuan MTEN dan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya meminta supaya isu melibatkan Kementerian Komunikasi termasuk permohonan daripada sektor industri kreatif diberikan perhatian sewajarnya.


