MALAYSIA berhasrat memperkukuh kedudukannya sebagai hab logistik bertaraf dunia dengan memanfaatkan kelebihan strategik negara merangkumi pengangkutan darat, laut dan udara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan strategik Malaysia di Selat Melaka yang sekian lama menjadi laluan perdagangan utama dunia kini perlu diperluaskan melalui integrasi rangkaian pengangkutan darat, laut dan udara.
“Selat Melaka telah menggerakkan aliran perdagangan selama berabad-abad. Cita-cita kita adalah untuk memperluaskan kekuatan itu merentasi pengangkutan darat, laut dan udara bagi menjadikan Malaysia sebuah hab logistik bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Pusat Pengedaran Global (Global Distribution Centre – GDC) Daiso di Pulau Indah hari ini.
Melalui Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, pusat pengedaran itu adalah satu inisiatif swasta bernilai RM1.2 bilion yang mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap potensi negara sebagai hab logistik dan pengedaran serantau.
Pusat ini akan berfungsi sebagai hab logistik utama Daiso, menghubungkan rangkaian pengeluaran di Jepun, China dan pembekal antarabangsa kepada 27 negara di Asia dan Asia Barat.
Perdana Menteri berharap kemudahan ini turut membuka laluan kepada lebih banyak produk buatan Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi rangkaian pengedaran global Daiso.
‘’Ini sekali gus memberi peluang kepada pengeluar dan pembekal tempatan memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing produk keluaran negara.
‘’Inisiatif berskala besar ini bukan sahaja memperkukuh peranan Malaysia dalam rantaian bekalan dan perdagangan serantau, malah merancakkan sektor logistik serta menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi baharu,’’ katanya.
Anwar berkata, kerajaan mahu setiap kehadiran pelabur membawa nilai tambah kepada ekonomi domestik, meningkatkan keupayaan industri dan memperluas peluang kemakmuran kepada rakyat.
‘’Keyakinan ini mencerminkan hasil usaha berterusan Kerajaan dalam menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, dasar yang jelas serta ekosistem ekonomi yang berdaya saing,’’ katanya.





