Yusoff Rawther beri keterangan kes saman sivil Anwar, 27 Januari depan

Bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther dijadualkan memberi keterangan pada hari pertama praperbicaraan saman sivilnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Januari tahun depan.

Peguamnya, Rafique Rashid Ali berkata, anak guamnya bersedia memberikan keterangan menerusi aplikasi Zoom dan pihak media turut dibenarkan mengikuti prosiding secara dalam talian.

Katanya, kebenaran itu diberikan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan yang akan mendengar kes berkenaan.

“Tarikh praperbicaraan ditetapkan pada 27, 28 dan 29 Januari serta 1 hingga 5 Mac 2027. Setakat ini, Muhammed Yusoff akan memulakan keterangannya pada 27 Januari depan.

“Prosiding akan dimulakan dengan isu dibangkitkan menerusi Enklosur 186, iaitu permohonan Anwar untuk mengemukakan soalan khusus yang dibenarkan mahkamah,” katanya.

Rafique berkata, semua pihak turut diarahkan hadir secara fizikal pada 27 November ini bagi satu lagi pengurusan kes untuk mendapatkan arahan lanjut.

Menurutnya, waktu sebenar prosiding menerusi Zoom akan dimaklumkan pada tarikh berkenaan dengan mengambil kira perbezaan waktu lapan jam antara Malaysia dan lokasi anak guamnya.

Beliau turut menegaskan Muhammed Yusoff bersedia memberikan keterangan dan tidak melarikan diri.

Rafique berkata, hakim menetapkan keterangan serta isu yang dibangkitkan sepanjang praperbicaraan perlu tertumpu kepada kejadian yang didakwa berlaku pada 2 Oktober 2018, khususnya di bilik belajar kediaman Anwar.

“Kes ini berkaitan apa yang berlaku pada 2 Oktober 2018. Muhammed Yusoff mendakwa sesuatu berlaku, manakala Anwar menafikannya.

“Mahkamah membenarkan semua pihak mengemukakan perkara yang ingin dibangkitkan sepanjang praperbicaraan, tetapi terhad kepada kejadian pada tarikh berkenaan dan tidak melangkaui jam 3 petang,” katanya.

Dalam prosiding pengurusan kes yang dijalankan secara tertutup hari ini, Anwar diwakili peguam, Christopher Leong.

Muhammed Yusoff kini berada di United Kingdom (UK) dan sedang mendapatkan suaka atas alasan kemanusiaan.

Menerusi saman itu, beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, berserta faedah serta kos berhubung dakwaan diserang oleh Anwar di kediamannya hampir lapan tahun lalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here