MALAYSIA meminta Amerika Syarikat (AS) supaya mempertimbangkan semula tindakan menyekat pergerakan keluar masuk kapal di Selat Hormuz, kerana ia boleh menjejaskan bekalan tenaga, sekali gus memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dunia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan AS itu juga boleh menghalang kapal dagang dan kargo daripada memasuki atau keluar dari kawasan Teluk Parsi yang boleh memberi kesan besar kepada bekalan tenaga global.
Menurut beliau, sebelum ini Iran bersetuju untuk membuka selat itu, dengan syarat 10 perkara yang diajukan semasa rundingan di Islamabad, Pakistan dan dipersetujui AS.
“Jadi, saya tak tahu apa tujuan pihak AS untuk mengepung Selat Hormuz kerana mereka yang melaungkan supaya membawa negara Eropah membentuk kerjasama bagi membuka Selat Hormuz, tapi sekarang mereka nak mengepung selat itu pula.
“Secara tiba-tiba, Presiden AS, Donald Trump mengarahkan tentera untuk mengepung Selat Hormuz, tidak membenarkan apa juga kapal-kapal melaluinya. Tindakan ini akan memburukkan lagi keadaan.
“Oleh itu, kita minta supaya AS mempertimbangkan semula tindakan itu dan membuka apa jua bentuk kepungan supaya laluan dagang boleh lalu di sana,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Rembau di Negeri Sembilan hari ini.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, Trump mengarahkan sekatan laut oleh Tentera Laut AS di Selat Hormuz, susulan kegagalan rundingan damai dengan Iran di Pakistan.
Mohamad berkata, ketika ini semua kapal yang berada di Selat Hormuz tidak boleh bergerak melalui selat itu termasuk enam kapal milik Malaysia yang masih terkandas.
Menurut Ahli Parlimen Rembau itu lagi, pihak berkenaan sepatutnya mengadakan rundingan semula bagi mencari jalan terbaik.
“Mereka (AS) tidak membenarkan mana-mana kapal boleh keluar atau masuk ke Teluk Parsi melalui Selat Hormuz.
“Dunia tidak sepatutnya dijadikan tebusan kepada peperangan yang tidak memberi apa-apa faedah. Saya minta pihak AS memikirkan semula tindakan mereka itu kerana keadaan ekonomi dunia termasuk bidang pertanian, tenaga yang menjadi lebih meruncing,” tegasnya.
Mohamad berkata, Malaysia juga meminta pihak Iran memikirkan supaya membenarkan kapal melalui Selat Hormuz demi kesejahteraan ummah.
“Peperangan antara AS-Israel dengan Iran itu adalah hak mereka tetapi dunia tidak boleh jadikan tebusan angkara tindakan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sudah meminta Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya berunding dengan semua negara anggota untuk menilai semula kedudukan pasukan pengaman (MALBATT) di Lubnan.


