SURUHANJAYA Sekuriti (SC) menegaskan kebanyakan dakwaan ‘mafia korporat’ bersifat jenayah dan di luar bidang kuasa suruhanjaya itu.
Pengerusinya, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, SC tidak boleh mengambil tindakan terhadap dakwaan ‘mafia korporat’ sekiranya perkara tersebut berada di luar undang-undang sekuriti.
“Sebahagian perkara yang didakwa dalam media sebenarnya tertakluk di bawah undang-undang umum, bukan undang-undang sekuriti. Contohnya, SC tidak mengawal selia ugutan jenayah atau pemerasan.
“Saya tidak mengawal pembunuhan atau pembunuhan tanpa niat. Mengapa anda fikir itu tugas saya? Tugas saya ialah undang-undang sekuriti,” katanya pada sidang media Laporan Tahunan 2025 SC di Kuala Lumpur, hari ini.
Tegas beliau, SC tidak menghalang pengambilalihan korporat atau pemerolehan saham, namun ia perlu mematuhi peraturan sedia ada.
‘’Jika ia melibatkan gangguan atau paksaan, perkara itu akan disiasat agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM),’’ katanya.
Beliau juga menegaskan, tindakan penguatkuasaan didorong oleh siasatan, bukan semata-mata aduan.
“Kami tidak mendakwa berdasarkan aduan sahaja. Tindakan hanya diambil selepas siasatan selesai,” tegasnya.


