DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan sebuah premis makanan di Cheras ditutup serta-merta susulan aduan orang awam berkaitan gangguan asap dan bau yang tular di media sosial.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti pembakaran bahan makanan seperti ayam dan daging di kawasan parkir berhampiran sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada persekitaran.
“Selain itu, turut dikesan ketidakpatuhan terhadap aspek kebersihan apabila terdapat aktiviti mencuci perkakas di atas lantai yang tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, premis terbabit diarahkan tutup di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 28(1) berkuat kuasa kelmarin.
“Satu kompaun turut dikeluarkan di bawah UUK 21(1)(m) kerana bahan penyediaan makanan serta perkakas didapati diletakkan atau dibasuh di atas lantai dan tidak di kawasan khas yang ditetapkan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, DBKL memandang serius sebarang isu melibatkan kebersihan, kesihatan awam serta kacau ganggu kepada penduduk sekitar.
“DBKL akan mengadakan sesi perbincangan bersama pihak terlibat bagi memastikan langkah penambahbaikan dilaksanakan, khususnya dalam mengawal aktiviti pembakaran agar tidak menjejaskan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Menurutnya, DBKL akan terus mempergiat pemantauan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.


