SEORANG lelaki warga Korea yang dikehendaki pihak berkuasa negara asalnya diculik oleh tiga lelaki senegara sebelum berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di Melaka pada 21 April lalu.
Dalam operasi itu, tiga suspek berusia antara 28 hingga 40 tahun ditahan sekali gus menumpaskan sindiket penculikan berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan kejadian itu, masing-masing daripada rakan mangsa warga tempatan serta seorang wanita Korea yang mendakwa sebagai isteri mangsa.
Menurutnya, mangsa berusia 40 tahun itu diculik ketika dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur pada 17 April lalu.
“Ketika kejadian, kenderaan dinaiki mangsa diekori sebelum dipintas suspek. Mangsa kemudian ditarik keluar, dipukul, diikat dan dimasukkan ke dalam kenderaan suspek sebelum dibawa ke lokasi tidak diketahui.
“Mangsa dikurung di sebuah inap desa di Melaka, selain dipukul dan diugut menggunakan objek menyerupai pistol,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, suspek turut menghubungi rakan mangsa dan menuntut wang tebusan kira-kira RM39 juta menerusi akaun kripto.
Katanya, rakan mangsa telah memindahkan kira-kira RM14 juta ke akaun berkenaan sebelum polis berjaya mengesan lokasi mangsa.
“Pasukan khas membabitkan JSJ Pahang, Melaka dan Bukit Aman kemudian melancarkan serbuan dan berjaya menyelamatkan mangsa serta menahan semua suspek.
“Hasil siasatan bersama Bahagian Kripto Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, polis mengesan RM11.5 juta dalam akaun kripto sebelum membekukan jumlah itu, selain merampas wang tunai kira-kira RM112,000,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan semua suspek direman tujuh hari bermula 22 hingga 28 April bagi membantu siasatan lanjut.


