PROJEK pemasangan internet berkelajuan tinggi di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Pangkalan Tentera Butterworth menunjukkan perkembangan positif, apabila beberapa komponen siap lebih awal daripada jadual asal.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bagi rumah pegawai yang dilawati, kerja pemasangan telah disiapkan kira-kira 14 bulan lebih awal dan kini sudah mula dimanfaatkan penghuni.
Menurut beliau, bagi kawasan Sri Pantai pula, proses pengesahan dan ujian dijangka dilaksanakan pada hujung minggu ini, dengan jangkaan siap antara 11 hingga 12 bulan lebih awal daripada perancangan asal.
“Bagi Seri Bayu, kerja-kerja dijangka siap menjelang penghujung Mei untuk fasa pertama sebelum diserahkan kepada Telekom Malaysia (TM) bagi pelaksanaan seterusnya,” katanya selepas melakukan tinjauan di kem berkenaan hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan aspek keselamatan menjadi keutamaan dalam pelaksanaan projek berkenaan, khususnya melibatkan kawasan strategik seperti kem tentera.
Katanya, semua pihak yang terlibat dalam penyediaan infrastruktur telah melalui proses saringan ketat dan disahkan tidak mempunyai sebarang isu keselamatan, sebelum dibenarkan memasuki kawasan kem.
“Bukan sahaja keselamatan fizikal, aspek keselamatan siber juga diberi perhatian serius melalui kerjasama antara Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan rangkaian selamat digunakan,” katanya.
Beliau berkata, sedikit kelewatan sebelum ini, turut berpunca daripada keperluan mematuhi proses saringan keselamatan, namun kini pelaksanaan kembali lancar selepas semua urusan berkenaan diselesaikan.
Fahmi turut memaklumkan, projek di Pangsapuri Wira melibatkan 100 unit rumah, kini dalam proses naik taraf dan dijangka siap hujung tahun ini, termasuk pemasangan internet di bawah program sama.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kem TLDM Lumut merupakan lokasi dengan jumlah unit RKAT tertinggi di zon utara, melebihi 5,500 unit dan kerja pelaksanaan masih berjalan.
Beliau berkata, terdapat 73 kem di seluruh negara yang terlibat dalam projek berkenaan dengan pelaksanaan dikendalikan oleh beberapa syarikat berbeza, manakala TM bertanggungjawab menyediakan pakej perkhidmatan internet.
“Setakat ini, pakej asas ditawarkan pada harga RM49 bagi kelajuan 100 Mbps, yang dilihat mampu membantu anggota tentera menikmati akses internet lebih laju pada kos rendah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat penghuni yang telah mula melanggan perkhidmatan itu dan berpuas hati terhadap harga yang ditawarkan.
Beliau turut menggesa agar projek seumpama itu dipercepatkan di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan akses internet berkualiti dapat dinikmati warga tentera secepat mungkin.


