
KEBIADABAN Amerika Syarikat (AS) bersekongkol dengan negara pengganas Israel serta keangkuhan Presiden AS, Donald Trump yang merasakan beliau paling berkuasa di dunia apabila mengarahkan tentera negaranya menyekat Selatn Hormuz kini akan mengundang bencana kepada dunia.
Sejak awal lagi ramai pakar ekonomi sudah memberi bayangan bahawa dunia akan terancam akibat tindakan ‘gila’ Trump yang menjadi orang suruhan pengganas antarabangsa Benjamin Netanyahu untuk menyerang Iran.
Apabila Israel mengetahui mereka akan kalah walaupun bergabung dengan AS, Israel bertindak menumpukan perhatian menyerang Selatan Lubnan dengan membiarkan Trump bersedia menguruskan Iran.
Trump pula demi menunjukkan hubungan akrab dan kesetiaannya kepada Netanyahu serta mahu mendapat sokongan Yahudi Zionis terus berperang dengan Iran tetapi mengumumkan gencatan senjata dengan memberikan pelbagai alasan apabila melihat AS semakin kalah berikutan tindak balas Iran.
Namun begitu Trump tetap mahu terus menunjukkan keangkuhannya apabila mengarahkan tentera AS mengawal Selat Hormuz dan mengambil tindakan kepada kapal yang membayar kepada Iran untuk melintasi selat tersebut.
Keadaan itu memburukkan lagi krisis tenaga dan terkini sebuah syarikat analisis data terkemuka, Kpler menyatakan penutupan berterusan Selat Hormuz akan membawa kepada krisis yang belum pernah berlaku dalam pasaran tenaga global.
Berdasarkan ramalan ini, sehingga akhir April 2026, jumlah kekurangan bekalan minyak akibat penutupan ini akan mencecah 700 juta tong.
Rangkaian berita CNN, dengan merujuk kepada laporan Kpler, menyatakan bahawa jumlah kekurangan ini akan meletakkan dunia berdepan salah satu kejutan bekalan terbesar dalam sejarah moden.
Sehingga 12 April lalu, kira-kira 300 juta tong minyak yang diperlukan oleh pasaran global telah terkeluar daripada rantaian bekalan akibat penghentian laluan di perairan strategik ini. Selat Hormuz merupakan laluan harian bagi kira-kira 20 peratus minyak yang digunakan di seluruh dunia.
Penganalisis kanan Kpler menegaskan bahawa sebagai tindak balas terhadap kejutan ini, harga minyak mentah Brent telah melepasi paras AS$100 dolar setong dan harga produk seperti bahan api jet meningkat melebihi AS$200 dolar setong. Kenaikan harga yang belum pernah berlaku ini telah mengaktifkan fenomena «kemusnahan permintaan» (Demand Destruction), sehingga:
*Banyak syarikat penerbangan antarabangsa telah membatalkan laluan mereka.
*Kerajaan negara pengguna telah melaksanakan pelan catuan bahan api dan kerja jarak jauh secara wajib.
*Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) turut mengubah unjuran pertumbuhan permintaan bagi tahun 2026 kepada penurunan sebanyak 80 ribu tong sehari.
Dalam masa yang sama, negara seperti Arab Saudi dengan penggunaan maksimum kapasiti saluran paip timur-ke-barat (4 hingga 4.5 juta tong sehari) dan Emiriah Arab Bersatu melalui pelabuhan Fujairah berusaha menampung kekurangan, namun Iraq secara praktikal lumpuh apabila eksportnya merosot daripada 4 juta tong kepada kurang daripada 900,000 tong sehari.
Kpler memberi amaran bahawa walaupun krisis ini diselesaikan serta-merta, proses kembali kepada keadaan normal tidak akan berlaku secara «segera dan serta-merta», dan jumlah minyak yang hilang sebelum pemulihan penuh rantaian bekalan boleh mencecah hampir 1 bilion tong.
Dua senario boleh digambarkan:
*Senario optimistik (pemulihan beransur-ansur dalam minggu-minggu akan datang): pengurangan permintaan yang terhad dan krisis dapat dilalui dengan kemelesetan ringan.
*Senario pesimistik (gangguan berterusan sehingga suku ketiga tahun): lonjakan harga minyak kepada 190 dolar setong dan kemusnahan permintaan pada skala jutaan tong sehari, yang akan mencetuskan bencana lebih besar daripada krisis minyak dekad 1970-an.
Persoalannya dunia tidak mampu berbuat apa-apa bagi menghentikan keangkuhan Trump dan anggota Senat daripada Demokrat. Disebabkan dua pihak inilah dunia akan menangguhkan akibat. Bagaimana dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Apa pula kata Liga Arab? Seperti biasa hanya diam….


