Wanita ditahan, api bakar sampah merebak hingga memusnahkan harta benda di Bachok

POLIS menahan seorang  wanita ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki aktiviti pembakaran sampah yang didakwa dilakukannya, merebak sehingga memusnahkan harta benda dan kawasan semak di Jalan Pantai Perkasa. Bachok, semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin dalam kenyataan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kebakaran, yang melibatkan kawasan semak dan sebuah kenderaan terbengkalai pada 4.30 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pengadu telah dimaklumkan oleh saksi bahawa kawasan semak dan rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai sedang terbakar.

“Pengadu bersama beberapa saksi telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati api sedang marak serta merebak ke arah kawasan berhampiran rumah pengadu. Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh orang awam.

Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kawasan yang terjejas meliputi kawasan lapang berdekatan rumah terbengkalai sehingga ke hadapan rumah pengadu,” katanya.

Mohamad Ismail berkata kerosakan turut melibatkan tanaman dan beberapa barangan seperti pokok kelapa, rangka kenderaan jenis Proton Wira, kayu binaan, serta pagar besi.

“Pihak polis turut mengesahkan tiada kamera litar tertutup ditemukan di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut membawa kepada penemuan kesan pembakaran sampah di atas tanah milik wanita tempatan berkenaan, yang terletak bersebelahan kawasan kejadian.

“Berdasarkan keterangan saksi, suspek dilihat melakukan aktiviti pembakaran sampah di kawasan itu sekitar 11.30 pagi pada hari kejadian.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai dengan api atau bahan mudah terbakar sehingga membahayakan harta benda,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohamad Ismail menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan kerana perbuatan tersebut boleh mengundang risiko kebakaran serta tindakan undang-undang.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img