SEORANG kelindan warga asing cedera selepas tercampak dari sebuah lori membawa muatan tong gas yang terbabas sebelum terbalik di Kilometer 6.4 di Lebuhraya SILK, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, hasil siasatan mendapati lori tersebut dipandu lelaki bukan warganegara berumur 26 tahun dan tiada lesen memandu.
“Lori turut membawa seorang penumpang lelaki bukan warganegara berumur 49 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, apabila melalui jalan berselekoh menuruni bukit di lokasi kejadian, pemandu lori tidak dapat mengawal kenderaan lalu terbabas serta terbalik beberapa kali dan kemudian melanggar batu penghadang jalan di sebelah kanan.
“Akibat kemalangan tersebut, kelindan telah tercampak ke seberang jalan dan mengalami kecederaan.
“Mangsa sedang menerima rawatan di hospital sementara pemandu tidak mengalami apa-apa kecederaan,” ujarnya.
Katanya, tiada kebocoran gas dan kebakaran berlaku serta ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Sek. 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


