Kes minta wang deposit wad: Kerajaan Johor perketat pengambilan sukarelawan SV

KERAJAAN Negeri Johor akan memperketat pengambilan sukarelawan Southern Volunteers (SV) susulan kes penahanan bekas sukarelawan berkenaan, yang ditahan kerana meminta wang deposit wad daripada orang awam di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada 21 April lepas.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata individu itu telah ditamatkan perkhidmatan sejak bulan lepas kerana tidak aktif, namun dipercayai menggunakan nama SV untuk menjalankan kegiatan di hospital berkenaan.

Beliau berkata individu itu yang telah ditahan pihak polis juga dilaporkan menyamar sebagai kakitangan hospital berkenaan.

Mohd Hairi berkata rentetan daripada itu, beberapa kriteria akan dinilai terlebih dahulu sebelum seseorang itu diambil sebagai sukarelawan SV.

“SV ini lambang dan imej negeri Johor. Saya tidak akan sesekali berkompromi dengan perkara seperti ini,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan wanita berkenaan yang dipercayai merupakan sukarelawan SV.

Mohd Hairi berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pemutihan sejak Januari lepas dengan menamatkan perkhidmatan sukarelawan yang tidak aktif.

Mohd Hairi berkata setakat ini hanya 34,000 daripada lebih 62,000 sukarelawan dikekalkan, susulan pemutihan berkenaan.

“Sukarelawan SV diletakkan di HSA, bagi membantu kelancaran di ruang legar hospital berkenaan susulan kesesakan termasuk menolak kerusi roda pesakit,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa kawalan keselamatan akan diperketatkan termasuk menyemak kad pengenalan diri kakitangan, terutamanya di laluan utama pintu masuk bangunan hospital.

JKNJ turut meminta orang ramai agar segera melaporkan sebarang insiden yang mencurigakan kepada pihak keselamatan hospital dan menasihati orang awam supaya berwaspada dan hanya membuat bayaran di kaunter hasil selain memastikan resit sah diterima bagi setiap transaksi.

Jabatan itu menjelaskan pihak keselamatan hospital  menahan individu itu pada 21 April sekitar 6.30 petang dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mangsa yang terlibat juga telah diminta untuk membuat laporan polis.

Kejadian itu sebelum ini turut tular di Threads, apabila seorang wanita membuat hantaran mempersoalkan sekiranya hospital berkenaan mengenakan bayaran deposit bagi pendaftaran wad.

Dia mendakwa ibunya perlu membayar sejumlah RM30 kepada individu terbabit, iaitu seorang wanita, ketika ingin membuat pendaftaran masuk wad ayahnya tanpa diberi resit bayaran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img