POLIS akan memanggil penganjur serta peserta perhimpunan “Tangkap Azam Baki” bagi membantu siasatan insiden letupan mercun di hadapan Kompleks SOGO, Kuala Lumpur yang mencetuskan kekecohan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata siasatan berhubung insiden berkenaan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta individu yang bertanggungjawab.
“Pada permulaan perhimpunan terdapat sedikit kekecohan melibatkan pembakaran mercun, namun tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan,” katanya kepda pemberita.
Beliau berkata pihaknya akan melengkapkan siasatan dengan memanggil semua individu berkaitan termasuk saksi bebas.
“Kita akan panggil mana-mana pihak yang terlibat dalam perhimpunan ini serta saksi yang melihat kejadian pembakaran mercun bagi membantu siasatan,” katanya.
Sazalee berkata polis juga tidak menolak kemungkinan wujud unsur sabotaj, namun perkara itu masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan berikutan kekurangan bukti setakat ini.
Sazalee berkata pihaknya turut mengesan satu lagi bungkusan dipercayai mengandungi mercun yang tidak sempat dinyalakan di lokasi kejadian.
“Kita belum dapat mengenal pasti siapa yang membekalkan atau bertanggungjawab terhadap mercun tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Bahan letupan yang digunakan adalah mercun biasa dan bukan bahan berbahaya lain,” tegasnya, sambil menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi.
Beliau berkata perhimpunan itu yang bermula sekitar 3 petang di hadapan SOGO sebelum peserta berarak ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir 5.35 petang, melibatkan kira-kira 300 peserta dan diadakan tanpa sebarang pemakluman rasmi kepada pihak polis.
Dalam pada itu, Sazalee memaklumkan kira-kira 200 anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta pasukan berkaitan ditugaskan bagi memastikan keselamatan sepanjang perhimpunan.


