ISRAEL membawa masuk kira-kira 240 warga India dari negeri Manipur dan Mizoram minggu ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membawa ribuan penjajah baharu bagi penempatan di utara Palestin yang dijajah rejim Zionis itu.
Menteri Imigresen dan Penyerapan Israel, Ofir Sofer, menyifatkan ketibaan itu sebagai “detik bersejarah”. Penjajah baharu itu berasal daripada komuniti Bnei Menashe, satu kumpulan yang diiktiraf Israel sebagai mempunyai kaitan dengan warisan Yahudi purba.
Komuniti Bnei Menashe percaya bahawa mereka berasal daripada bangsa Israel purba walaupun bukti sejarah dan genetik bagi dakwaan ini tidak wujud.
Dari semasa ke semasa, anggota kumpulan ini telah menetap di pelbagai kawasan di Palestin, termasuk penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki dan sebelum ini di Semenanjung Gaza, lapor Quds Nees Network.
Komuniti ini berjumlah sekitar 10,000 orang, kebanyakannya masih tinggal di negeri timur laut India, Manipur dan Mizoram. Sepanjang tiga dekad lalu, hampir separuh daripada mereka telah berpindah ke Israel. Ramai dalam kalangan mereka percaya mereka adalah keturunan suku Alkitab, iaitu Suku Manasseh, yang menurut tradisi diasingkan lebih 2,800 tahun lalu.
Bnei Menashe tergolong dalam kumpulan etnik Kuki di India dan bertutur dalam bahasa keluarga Tibeto-Burman, dengan akar yang umumnya dikaitkan dengan Asia Timur. Kebanyakan komuniti Kuki memeluk agama Kristian pada awal abad ke-20 di bawah pengaruh mubaligh.
Namun, pada 1970-an, penyelidik Israel menemui persamaan yang didakwa antara beberapa tradisi Kuki dan amalan Yahudi. Sejak itu, sejarah lisan, lagu dan ritual dalam komuniti tersebut telah mengukuhkan kepercayaan mengenai asal-usul Israel purba.
Kementerian Imigresen Israel menyatakan bahawa para penjajah itu akan ditempatkan di utara wilayah yang diduduki dan akan memulakan proses penukaran rasmi kepada agama Yahudi. Proses ini diperlukan bagi kelayakan di bawah “Undang-Undang Kepulangan” Israel, yang memberikan kewarganegaraan hanya kepada mereka yang diiktiraf sebagai Yahudi.
Kumpulan tersebut tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv dan menerima sambutan rasmi. Media Israel melaporkan bahawa gelombang ini menandakan permulaan pelan kerajaan yang lebih luas untuk membawa lebih ramai anggota komuniti Bnei Menashe dari India dalam tahun-tahun akan datang.
Menurut The Jerusalem Post, ketibaan itu berlaku di bawah “Operasi Wings of Dawn,” satu inisiatif bersama antara Kementerian Imigresen dan Agensi Yahudi untuk Israel. Operasi ini bertujuan melengkapkan pemindahan baki anggota komuniti yang masih tinggal di timur laut India.
Pegawai menjangkakan sekitar 600 penjajah akan tiba dalam tiga gelombang dalam beberapa minggu akan datang. Kebanyakan penjajah baharu adalah keluarga muda yang pada awalnya akan tinggal di pusat penyerapan di utara Israel, termasuk di Nof HaGalil, di mana sebahagian akan bertemu semula dengan ahli keluarga yang tiba lebih awal.
Pelan lebih luas Israel menyasarkan pemindahan kira-kira 6,000 anggota komuniti Bnei Menashe menjelang 2030. Pihak berkuasa menyatakan sekitar 1,200 lagi dijangka tiba menjelang akhir 2026.
Inisiatif ini menyusuli keputusan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada November lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Yahudi, Doron Almog, turut menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian daripada realisasi berterusan visi Zionis.
Ketibaan terbaharu ini berlaku ketika Israel berdepan peningkatan jumlah rakyatnya yang meninggalkan wilayah yang diduduki. Data rasmi menunjukkan puluhan ribu rakyat Israel meninggalkan negara itu pada tahun 2024 dan 2025, didorong oleh konflik berterusan di Gaza serta kesannya yang lebih luas.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 172,000 yang lain, selain memusnahkan sebahagian besar infrastruktur wilayah tersebut. Israel secara sejarah telah membawa masuk berjuta-juta penjajah dari seluruh dunia untuk menetap di rantau itu sejak penubuhannya pada tahun 1948.


