TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) 2026 akan tetap berlangsung apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar penganjurannya diteruskan dengan pendekatan lebih berhemah dan berlandaskan penjimatan kos.
Perintah perkenan itu diperoleh selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 April lalu bagi membincangkan kedudukan temasya dwitahunan berkenaan.
Sukma 2026 yang dijadual berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini sebelum ini mencetuskan perbincangan mengenai kemungkinan penangguhan susulan faktor ekonomi global dan peningkatan kos penganjuran.
Bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan temasya itu dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan atlet muda negara tidak terjejas.
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan baginda, selain menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang meletakkan kepentingan atlet sebagai keutamaan.
“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor susulan inisiatif perbincangan oleh YAB Perdana Menteri, khususnya keprihatinan terhadap atlet-atlet muda yang wajar terus diberi peluang bertanding di peringkat tertinggi,” katanya.
Menurut beliau, Sukma 2026 bukan sahaja platform pertandingan, malah berfungsi sebagai medan pemilihan serta persiapan atlet muda menghadapi Sukan SEA 2027 yang dijadual berlangsung di negara ini.
Mohammed Taufiq turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menyelaraskan persiapan serta pelaksanaan temasya berkenaan.
“Saya juga telah menerima perkenan untuk menghadap Tuanku yang dijadualkan pada Rabu, 29 April bersama-sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor untuk memaklumkan perkembangan perancangan terkini berhubung penganjuran Sukma 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.


