SEORANG lelaki di bawah pengaruh dadah bertindak mengurung isteri bersama tiga anaknya selama tujuh jam di dalam sebuah rumah di kawasan perumahan pekerja di sebuah ladang di Kalabakan, Tawau pada Khamis lalu.
Dalam kejadian itu, suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun turut mengugut untuk membunuh isteri dan anak-anaknya sambil menggunakan senjata berbahaya terhadap orang ramai yang cuba menyelamatkan mereka.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.30 malam selepas suspek bertindak agresif di rumahnya.
“Suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah dan telah bertindak mengunci isteri serta tiga anaknya di dalam rumah.
“Suspek juga mengugut sesiapa yang cuba masuk serta mengeluarkan kata ugutan untuk membunuh mereka sambil membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, Jasmin memberitahu, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintenden Zulham Affendi Zulkifli bergegas ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati rumah dalam keadaan gelap dan terdapat beberapa senjata berbahaya termasuk parang, sabit serta paip besi di dalamnya.
“Polis turut mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memujuk suspek yang berada dalam keadaan agresif sebelum bertindak menyerbu masuk bagi menyelamatkan mangsa.
“Dalam operasi tersebut, pasukan polis turut menggunakan taser gun (senjata perenjat elektrik) bagi melumpuhkan suspek yang bertindak agresif sebelum berjaya ditahan pada jam 10.30 pagi keesokan harinya,” jelasnya.


