14 ADUN BN Negeri Sembilan tarik sokongan terhadap MB

SEMUA 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan dibuat susulan krisis didakwa membabitkan institusi Perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Menurutnya, beliau bersama 13 lagi ADUN yang mewakili BN amat dukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku.

“Semua 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan, dengan ini, sebulat suara, hilang kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.

Beliau berkata, makluman rasmi mengenai keputusan itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman hari ini.

Jalaluddin berkata, Aminuddin sewajarnya memainkan peranan dan menggunakan kebijaksanaannya dalam menangani kemelut itu.

Katanya, krisis itu dilihat berpotensi menjejaskan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dan memberi kesan mendalam kepada kestabilan serta keharmonian rakyat.

Menurut beliau, semua ADUN UMNO/BN hadir sidang media berkenaan kecuali ADUN Rantau yang juga Timbalan Presiden UMNO merangkap Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang ketika ini mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah ke-25 (25th AEMM) di Brunei, yang bermula hari ini hingga 28 Mei.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, Exco kerajaan negeri mewakili UMNO/BN tidak pernah dimaklumkan dalam sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri, dan hanya mengetahui krisis adat itu apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal sehingga menjadi perdebatan umum.

“YAB Menteri Besar sewajarnya memainkan peranan dan menggunakan kebijaksanaan beliau sebagai Menteri Besar dalam krisis ini,” katanya yang juga Exco Kanan kerajaan negeri.

Tambah beliau, UMNO/BN negeri mendokong penuh dan mempertahankan institusi adat dan Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

“Kita mahukan kerajaan yang stabil supaya dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam pentadbiran negeri, sekali gus dapat fokus kepada objektif mensejahterakan rakyat dan ekonomi negeri,” kata ADUN Pertang itu.

Sebagai rekod, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos 2023, UMNO/BN membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH) dengan keseluruhan 31 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang lima kerusi.

Daripada jumlah kerusi bagi membentuk kerajaan negeri, PH menguasai 17 kerusi melalui DAP (11), PKR (5) dan AMANAH (1), manakala UMNO/BN dengan 14 kerusi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img