HUJAN lebat serta angin kencang di sekitar Kedah mengakibatkan blok pentadbiran dan bangunan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang rosak akibat dilanda ribut dalam kejadian petang tadi.
Kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira jam 6 petang dan foto mengenai kerosakan turut dikongsi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook beliau malam ini.

Beliau bagaimanapun mengesahkan tiada sebarang kecederaan membabitkan pelajar.
“Saya dimaklumkan blok asrama, surau, blok akademik serta dewan makan tidak terjejas, malah bekalan elektrik di kawasan tersebut masih berfungsi seperti biasa.

“Namun, blok pentadbiran mengalami kerosakan yang agak teruk, melibatkan bilik guru, dewan kuliah, makmal komputer, bilik kaunselor serta bilik pendidikan seni, dan bekalan elektrik di blok ini telah terputus.
“Saya telah mengarahkan Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) Mara untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan pelajar berada dalam keadaan selamat. Peruntukan Khas Darurat juga akan disalurkan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan untuk memperbaiki segala kerosakan,” katanya.
Berdasarkan foto dikongsi, jelas kelihatan kerosakan dialami agak teruk dengan bumbung diterbangkan angin, selain struktur bangunan turut rosak.
Selain MRSM Pendang, kejadian ribut melanda dua daerah iaitu Pendang dan Bandar Baharu itu turut menyebabkan kerosakan terhadap beberapa rumah kediaman, masjid dan klinik kerajaan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, tiga buah kampung di tiga mukim di daerah berkenaan terjejas, dengan antara lokasi termasuk Kampung Gajah Mati di Mukim Padang Pusing, Kampung Paya Mat Inson di Mukim Ayer Putih dan Kampung Lampam di Mukim Rambai.
“Setakat ini dua rumah di tiga mukim mengalami kerosakan dan pihak kami masih dalam bancian untuk mengenal pasti rumah yang terjejas, ” katanya.


