MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan situasi politik yang berlaku di Negeri Sembilan ketika ini tidak menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, perkembangan tersebut dilihat sebagai isu bersifat khusus, namun pimpinan di peringkat Pusat sentiasa mengambil berat terhadap situasi semasa.
“Tidak, waktu ini tidak. Ini satu perkara yang mungkin unik kepada Negeri Sembilan tapi di peringkat Kerajaan Perpaduan kita semestinya sangat prihatin tentang apa yang sedang berlaku.
“Di peringkat Pusat, saya percaya pimpinan akan menetapkan hala tuju,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Dialog Keselamatan Dalam Talian Asia Pasifik (APAC) Google 2026 hari ini.
Beliau juga memaklumkan, pimpinan Pakatan Harapan di negeri berkenaan sudah membuat pengumuman berkaitan isu tersebut semalam.
Tambah beliau, Pakatan Harapan akan mengadakan konvensyen pada 17 Mei ini di Persada Johor yang disifatkan sebagai platform terbaik bagi pimpinan mendengar pandangan akar umbi dari negeri-negeri mengenai langkah seterusnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan turut sempat bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi awal pagi semalam bagi membincangkan beberapa perkara.
Semalam, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan keputusan menarik sokongan terhadap Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara membabitkan semua 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang sedang berlaku ketika ini.


