SPRM dapat perintah larangan transaksi wang kira-kira AS$1.7 juta berkait dana 1MDB

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah larangan transaksi membabitkan wang kira-kira AS$1.7 juta (RM6.7 juta) yang disimpan dalam dua akaun perbankan di Amicorp Bank and Trust Limited, Barbados dipercayai membabitkan dana yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perintah larangan itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini selepas berpuas hati dengan permohonan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAFTPAA 2001) oleh pihak pendakwaan yang menunjukkan dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, wang itu susulan siasatan yang dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM.

Katanya, ia mendapati dalam tempoh antara tahun 2014 hingga 2019, beberapa individu iaitu pemegang akaun bank serta pengarah kepada beberapa syarikat yang ditubuhkan di luar negara disyaki terbabit dalam aktiviti menerima, menyembunyi, memindah dan mengubah wang hasil daripada aktiviti haram melalui akaun-akaun bank syarikat berkenaan di Barbados.

Azam berkata, susulan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan perintah larangan transaksi kewangan membabitkan AS$56,285.88 (RM264,543.64) dalam akaun milik Lambasa Global Opportunity Fund BV dan AS$1,649,118.40 (RM7,750,856.48) dalam akaun milik Universal Ventures Fund SCC.

Menurutnya, perintah larangan itu selaras dengan komitmen SPRM untuk terus mengesan, membeku dan melucut hak wang serta aset hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram termasuk di luar negara berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Tindakan itu mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memastikan setiap dana yang diseleweng dapat dijejaki dan dikembalikan kepada negara.

“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini, termasuk ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, usaha pemulihan aset bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, tetapi satu tanggungjawab untuk melindungi kepentingan kewangan negara.

“Setiap ringgit yang berjaya dipulihkan adalah hak rakyat Malaysia dan akan terus diperjuangkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azam dalam pada itu menegaskan, pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menggunakan segala saluran perundangan yang ada bagi memastikan aset yang disembunyikan di luar negara dapat dikesan, dibekukan dan dilucut hak.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img