EV tiga roda terbalik, MBPP arah operasi dihentikan serta-merta

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan operator perkhidmatan penyewaan kenderaan elektrik (EV) tiga roda di Persiaran Karpal Singh, Georgetown, menghentikan operasi serta-merta susulan insiden kemalangan yang mengakibatkan tiga sekeluarga cedera, Ahad lalu.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir A Rajendran berkata, hasil pemeriksaan mendapati operator terbabit hanya memiliki lesen bagi perkhidmatan penyewaan ‘nine board’, skuter lipat dan ‘kiddies ride’ di lokasi berkenaan bermula 10 April lalu.

Menurutnya, siasatan di tapak mendapati operator melanggar syarat lesen apabila turut menawarkan sewaan kenderaan jenis skuter yang tidak dibenarkan.

“MBPP sudah mengeluarkan surat bagi meminta penjelasan daripada operator mengenai isu berkenaan dan mengarahkan supaya aktiviti ini dihentikan dengan serta-merta,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti tanpa kelulusan sah daripada pihak berkuasa tempatan.

“Pihak MBPP akan terus melakukan pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dipasang di kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam Ahad lalu, seorang lelaki, Lim Yong Chien, 33, dilaporkan patah jari kelingking, manakala isterinya, Loh Jo Yi mengalami kecederaan dalaman serta bengkak pada kaki kanan selepas kenderaan dinaiki mereka terbalik.

Anak perempuan pasangan itu yang berusia tiga tahun turut mengalami luka di bahagian dahi dalam kejadian dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem brek kenderaan berkenaan.

Mangsa dilaporkan telah membuat laporan polis bagi mendesak tindakan diambil terhadap operasi itu yang didakwa tidak berlesen, selain bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kepada orang lain.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img