POLIS sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian ragut di hadapan sebuah institusi perbankan di Baling, semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Anak Richard Joe berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.55 petang ketika mangsa, seorang wanita berusia 32 tahun, baru selesai berurusan di sebuah bank.
Menurutnya, mangsa didatangi suspek yang menunggang motosikal sebelum lelaki itu bertindak meragut beg tangan miliknya dan melarikan diri.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Baling atau mana-mana balai polis berhampiran.


