KERAJAAN meneruskan usaha melaksanakan pengesahan umur bagi menyekat kanak-kanak bawah 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial sendiri, demi meningkatkan aspek keselamatan dalam talian.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu akan dilaksanakan menerusi sistem eKYC (Electronic Know Your Customer) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurutnya, tujuan utama pelaksanaan sistem berkenaan adalah untuk memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada risiko keselamatan dalam talian, termasuk interaksi dengan individu tidak dikenali.
“Hasrat utama kerajaan adalah memastikan kanak-kanak bawah umur 16 tahun tidak mempunyai akaun media sosial sendiri.
“Namun, jika akaun diwujudkan oleh ibu bapa dan berada di bawah kawalan mereka, ia masih boleh dimanfaatkan oleh anak-anak dengan pemantauan sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kanak-kanak berinteraksi dengan individu dewasa yang tidak dikenali, termasuk risiko menjadi mangsa jenayah seksual.
Menurutnya, terdapat kes sebelum ini membabitkan seorang lelaki dewasa yang dijatuhi hukuman penjara dan sebatan selepas memperdaya seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dikenalinya melalui platform media sosial.
“Ini menunjukkan platform media sosial tidak dapat menjamin keselamatan sepenuhnya bagi kanak-kanak bawah 16 tahun, khususnya daripada ancaman pedofil dan pemangsa seksual,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha berkenaan adalah bagi melindungi kanak-kanak serta memastikan keselamatan keluarga terus terpelihara dalam persekitaran digital.


