10 jam beri keterangan, James Chai dijangka perlu hadir lagi esok

BEKAS pegawai khas kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, James Chai hari ini hadir memberi keterangan selama hampir 10 jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Penganlisis politik itu dilepaskan oleh pegawai SPRM kira-kira jam 6.50 petang tadi selepas dilihat datang ke ibu pejabat SPRM pada jam 9.45 pagi tadi.

Difahamkan, keterangan pada hari kedua itu belum selesai dan James dijangka perlu hadir lagi ke SPRM esok.

Dalam proses itu, keterangan termasuk semakan beberapa dokumen penting perlu dilakukan.

Semalam, James hadir memberi keterangan buat kali pertama selepas dicari oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung sebuah projek semikonduktor yang dibiayai kerajaan bernilai kira-kira RM1.1 bilion.

Pada hari pertama, siasatan merakam keterangan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berlangsung selama lebih lapan jam.

SPRM dalam kenyataan mengesahkan menyambung merakam percakapan seorang penganalisis politik yang juga merupakan saksi  membabitkan siasatan berhubung sebuah projek semikonduktor yang dibiayai kerajaan bernilai kira-kira RM1.1 bilion.

Menurut SPRM, saksi yang juga merupakan bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas (Dasar) Menteri di sebuah kementerian hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk hari kedua bagi menyambung memberi maklumat dan membantu siasatan kes berkenaan.

“Saksi tiba di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 10 pagi tadi dan beliau hadir bagi hari kedua untuk dirakam percakapan,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, saksi telah dilepaskan pada jam 6.45 petang tadi dan akan disambung lagi untuk hari ketiga, esok jam 10 pagi.

James yang kini menetap di London dicari SPRM sejak Mac lalu.

SPRM menerima surat daripada peguam James bertarikh 9 Mac lalu yang memaklumkan lelaki itu tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.

SPRM kemudian mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac, memberi lanjutan masa untuk James hadir pada 31 Mac lalu, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img