SEPASANG suami isteri warga Indonesia ditahan selepas disyaki menyimpan laras senapang angin buatan sendiri serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Ladang Sawit Felda Purun, di Bera semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, tangkapan itu dibuat menerusi Op Taring Laras yang dijalankan pasukan Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan.
Beliau berkata, serbuan dibuat kira-kira jam 7.50 malam tadi selepas polis menerima maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur rumah itu menemukan satu laras senapang angin buatan sendiri berwarna hitam dan coklat yang disandar di penjuru dinding bilik.
“Pemeriksaan terhadap penghuni rumah mendapati kedua-dua mereka yang berusia 43 dan 40 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasangan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


