SEPASANG suami isteri warga Indonesia berusia 43 tahun dan 40 tahun ditahan selepas disyaki menyimpan senapang angin buatan sendiri serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri di sebuah rumah tidak bernombor di Ladang Sawit Felda Purun, di Bera, semalam.
Ketua Polis Daerah Bera Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, mereka itu ditahan dalam Op Taring Laras yang dijalankan pasukan Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan.
Katanya, serbuan dilakukan pada jam 7.50 malam 28 April lalu selepas pihak polis menerima maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur rumah itu menemui selaras senapang angin warna hitam dan coklat yang disandar di penjuru dinding bilik.
“Pemeriksaan terhadap penghuni rumah mendapati kedua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mereka sudah tinggal di Malaysia kira-kira dua tahun.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang peluru ditemui di dalam rumah berkenaan,” katanya.
Zulkiflee berkata, kedua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera bersama rampasan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


