DUNIA perfileman Melayu diselubungi duka apabila seniwati legenda, Maria Menado, menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun, jam 12.25 tengah hari tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di sisi ahli keluarga di sebuah pusat perubatan swasta.
Menantunya, Sairul Amar Ayob, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan sejak 14 April lalu.
“Allahyarham Datuk Seri Maria Menado menghembuskan nafas terakhir dengan tenang,” katanya.
Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Bukit Jelutong, Selangor bagi memberi peluang kepada kaum keluarga, sahabat dan kenalan memberi penghormatan terakhir.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk urusan pengurusan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Dilahirkan dengan nama asal Liesbet Dotulong pada 2 Februari 1932 di Minahasa, Sulawesi Utara, Allahyarham merupakan antara bintang filem Melayu paling berpengaruh pada era kegemilangan perfileman sekitar 1950-an hingga awal 1960-an.
Allahyarham memulakan kerjaya seni selepas berhijrah ke Singapura dengan menyertai Malay Film Productions dan Cathay-Keris Film Productions sebelum muncul sebagai antara pelakon wanita utama pada zaman tersebut.
Nama beliau melonjak menerusi lakonan dalam filem Pontianak (1957), yang dianggap antara filem seram Melayu terawal dan menjadikannya ikon penting genre berkenaan.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarham turut menerima pengiktirafan antarabangsa, termasuk gelaran ‘Wanita Terjelita Malaya’ oleh Times Magazine serta ‘Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara’ oleh United Press International.
Pemergian beliau meninggalkan legasi besar dalam industri seni tanah air dan akan terus dikenang sebagai antara ikon perfileman Melayu.


