Bekas jurutera IT, rakan didakwa miliki dadah, 12 MyKad palsu

SEORANG bekas jurutera teknologi maklumat (IT) bersama rakannya didakwa di Mahkamah Majistret Besut hari ini atas pertuduhan memiliki dadah serta menyimpan 12 keping kad pengenalan (MyKad) palsu.

Kedua-dua tertuduh, Aman Rasid, 39, dan Mohd Aiman Musa, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurliyana Md Zukri.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 7.11 gram di sebuah rumah di Lot 2267 Kampung IKM Alor Lintang, Kampung Raja, kira-kira jam 10.05 malam pada 23 April lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,800 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagi pertuduhan kedua, Aman didakwa memiliki 12 keping MyKad palsu tanpa kuasa sah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 bagi pertuduhan itu dengan seorang penjamin, namun tertuduh gagal membayar jaminan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 2 Ogos 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Semalam, polis Terengganu dilaporkan menumpaskan satu sindiket pemalsuan MyKad yang turut terbabit dalam aktiviti dadah menerusi serbuan di Kampung Raja, pada 23 April lalu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img