Ibu tunggal didenda RM1,500 tinggal bayi depan rumah

SEORANG ibu tunggal didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini selepas mengaku bersalah sengaja meninggalkan bayi lelakinya di hadapan sebuah rumah, awal bulan ini.

Majistret, Siti Zubaidah Mahat, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nor Ain Shafina Norazman, 30.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun itu didakwa dengan sengaja meninggalkan bayi lelaki yang baru dilahirkan dengan niat untuk membuang bayi berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Rantau Panjang, Kampung Rantau Panjang, kira-kira jam 11 pagi pada 8 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Salman Al Farisi, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Nathiya.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon denda lebih rendah dengan alasan tertuduh, yang juga bekas guru tadika, telah diberhentikan kerja susulan kes tersebut serta menanggung tiga anak.

Peguam turut memaklumkan tertuduh telah insaf dan berhasrat mendaftarkan bayi itu di Jabatan Pendaftaran Negara.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki ditemui masih bernyawa dalam keadaan berbalut di atas sofa di luar sebuah rumah di kawasan Rantau Panjang pada 8 April lalu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img