PELAKSANAAN inisiatif bekerja dari rumah (BDR) menunjukkan impak signifikan apabila berjaya menjimatkan RM1.9 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 979,632 liter dalam tempoh 10 hari pelaksanaannya sejak 15 April lepas.
Ketika memklumkan perkara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata penjimatan itu melibatkan 120,816 liter petrol atau RM239,215.68 sehari.
“Walaupun mungkin angka itu tidak besar tapi saya melihat ia adalah sumbangan yang signifikan daripada penjawat awam untuk membantu kerajaan menangani bebanan kewangan ekoran daripada krisis di Timur Tengah (Asia Barat),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ziarah Pesara Uzur di Taman Ria, Sri Lalang, di Kluang hari ini.
Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan menziarahi rumah tiga pesara yang uzur termasuk seorang bekas Juru X-ray di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, Md Suli Daud, 70, yang lumpuh dan terlantar.
Wan Ahmad Dahlan berkata, setakat hari ini sebanyak 20,136 penjawat awam terlibat dalam pelaksanaan BDR, berbanding 15,452 pada 15 April lepas.
Beliau berkata, pelaksanaan BDR tidak menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat, memandangkan ia hanya melibatkan tugasan yang tidak perlu dilakukan di pejabat.
“(Bagaimanapun) buat masa ini BDR tidak dilaksanakan pada Isnin kerana kita nak bagi tugasan kepada penjawat awam yang akan BDR dan pada Jumaat pula adalah untuk penilaian produktiviti kerja,” katanya.


