KEPUTUSAN berhubung cadangan menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata kementerian kini dalam peringkat pelaksanaan kajian mekanisme yang bersesuaian termasuk penelitian terhadap sebarang implikasi kepada hasil kerajaan.
“Kita buat kajian dengan segera, perlu teliti dan buat pertimbangan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan kerana bukan semua kenderaan (menggunakan) diesel tidak menerima subsidi. Ada sebahagian mendapat subsidi melalui harga subsidi bersasar.
“Jadi perlu ada pengimbangan untuk melihat bagaimana kita membantu mereka yang tidak mendapat subsidi menerusi langkah mengurangkan cukai dikenakan kepada mereka,” katanya selepas menghadiri Readers Forum on the English Edition of Xi Jinping: The Governance of China, Volume V di Kuala Lumpur hari ini.
Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel dalam tempoh terdekat sebagai langkah mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga bahan api itu.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata beliau telah meminta Kementerian Pengangkutan untuk mencari mekanisme bersesuaian bagi melaksanakan pengurangan itu dengan mengambil kira kesan kenaikan harga diesel terhadap pengguna, khususnya dalam sektor yang masih bergantung kepada kenderaan diesel.
Sementara itu, Loke berkata kementerian cuba melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan pengangkutan awam sebagai antara langkah penjimatan dalam menghadapi krisis bekalan global ketika ini.
“Kita cuba memastikan penggunaan pengangkutan awam dapat dioptimumkan. Saya tahu ramai mengeluh kerana kadang-kadang ada gangguan perkhidmatan, namun kita mengambil serius semua perkara itu untuk memastikan semua sistem kita berfungsi dengan baik bagi kegunaan orang ramai,” katanya.


