KETUA Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung isu melibatkan adat Negeri Sembilan.
Beliau berkata perkara yang berlaku ketika ini melibatkan adat dan budaya di negeri berkenaan.
“Saya cuma memohon kepada semua pihak supaya bertenang, dan tidak membuat sebarang komen yang saya rasa tidak perlu.
“Bagi pihak-pihak yang berkaitan, saya minta supaya tidak membuat sebarang komen yang mungkin boleh menjejaskan usaha-usaha bagi memastikan semuanya kembali kepada keadaan sediakala,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.
Khalid berkata polis akan memastikan keselamatan dan ketenteraman di Negeri Sembilan sentiasa terkawal.
Beliau juga berkata polis menerima beberapa laporan mengenai ketidakpuasan hati pihak yang terlibat dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan tindakan lanjut.
Pada Isnin lepas, semua 14 ADUN Barisan Nasional Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun.
Sehari selepas itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Aminuddin akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai menteri besar seperti titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


