POLIS merampas rotan yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian yang menyebabkan seorang anggota komando cedera parah di Kem Iskandar, Mersing bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, rampasan dibuat susulan laporan diterima pihaknya pada 8.30 malam, 14 Mac lalu berhubung kejadian menggunakan kekerasan di kem berkenaan.
Katanya, bertindak atas maklumat juga , pihaknya menahan dua anggota tentera berumur 24 tahun dari kem sama yang dipercayai terbabit kes berkenaan.
“Tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mersing pada 11.45 malam, 14 Mac lalu. Rotan yang dirampas sepanjang 72 sentimeter yang disyaki digunakan sebagai senjata dalam kes ini.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata, pihaknya melakukan siasatan segera selepas menerima laporan mangsa berusia 25 tahun retak pada tengkorak kepala serta pendarahan dalam otak, yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.
Menurutnya, siasatan juga sudah lengkap dan kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwaan negeri 28 April lalu bagi tindakan lanjut.
Katanya, pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara, dengan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda atau sebatan jika disabitkan.


