Lelaki pura-pura beli cincin, larikan barang kemas RM26,000

POLIS sedang giat mengesan seorang lelaki yang disyaki melarikan barang kemas bernilai hampir RM26,000 dari sebuah kedai emas di bandar Jerantut, dalam kejadian pada Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek didakwa memasuki premis berkenaan dengan berpura-pura mahu membeli cincin pertunangan sebelum melarikan beberapa barangan kemas yang dipamerkan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Arshad Ayob berkata, suspek yang memakai baju berwarna hitam, merah dan putih, berseluar pendek serta bertopi hitam pada awalnya meminta untuk melihat beberapa jenis cincin emas sebelum beralih kepada gelang emas.

“Jurujual kemudian mengeluarkan beberapa barangan kemas untuk dipilih suspek termasuk gelang emas, cincin emas dan cincin perak.

“Bagaimanapun, ketika jurujual itu berpaling untuk mengambil barangan lain seperti diminta, suspek dipercayai mengambil kesempatan melarikan semua barang kemas di atas meja pameran sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, jurujual terbabit sempat mengejar suspek, namun lelaki itu berjaya menghilangkan diri.

“Antara barangan yang dilarikan adalah tiga utas gelang emas, sebentuk cincin emas dan sebentuk cincin perak dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM25,901,” katanya.

Beliau berkata, premis berkenaan dilengkapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan proses mengesan cap jari turut dijalankan di lokasi kejadian, dengan dua cap jari berjaya diperoleh bagi membantu siasatan.

“Usaha mengesan serta mengenal pasti suspek kini sedang giat dijalankan secara menyeluruh dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img