UMNO Negeri Sembilan hari ini menggesa supaya Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri diadakan segera bagi menangani krisis politik yang berlaku di negeri itu ketika ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya khuatir akan wujud ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri jika sidang DUN ditangguh dalam tempoh enam bulan seperti dimaklumkan.
“Jika mereka bertahan sehingga enam bulan (menangguhkan sidang DUN), kerajaan akan diurus dalam keadaan tidak stabil dan pelbagai masalah akan timbul, sekali gus dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Malah, kesan daripada itu berkemungkinan akan membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu. Oleh itu, sidang DUN khas mesti dipanggil untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri,” katanya hari ini, lapor BH.
Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, sekiranya persidangan DUN tidak diadakan dalam masa terdekat, ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri, selain memberi kesan kepada kelancaran urusan dasar kerajaan.
Beliau berkata, Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman perlu mengambil tindakan segera dengan memanggil sidang DUN khas bagi membincangkan serta memutuskan langkah penyelesaian terhadap krisis politik yang sedang berlaku.
Sebelum ini, 14 ADUN UMNO/Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun atas alasan kegagalan menyelesaikan kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Seri Menanti.
Lima ADUN Perikatan Nasional (PN) turut mengemukakan tawaran bertulis kepada UMNO dan BN untuk bekerjasama demi memastikan kestabilan politik negeri kembali pulih.
Istiadat pembukaan persidangan Negeri Sembilan ke-15 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 23 April lalu sepatutnya bersambung pada Isnin hingga hari ini, namun diputuskan ditangguh hingga suatu tarikh akan dimaklumkan kemudian.
Keputusan itu dimaklumkan Aminuddin, selepas selesai istiadat perasmian pembukaan persidangan.


