Lelaki rempuh BMW miliki 17 peket disyaki dadah ditahan

SEORANG lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditahan selepas kereta yang mereka naiki merempuh sebuah kenderaan lain ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Petaling Jaya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan suspek itu turut menemukan 17 peket lutsinar berisi bahan disyaki dadah seberat kira-kira 16 gram.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan pada jam 9.08 malam mengenai kejadian sebuah kereta peronda polis mengejar sebuah kereta Proton Preve di Lebuhraya Lembah Klang Baharu (NKVE) berhampiran susur keluar Plaza Tol Subang menghala ke arah Shah Alam, selepas kenderaan itu cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis.

“Dalam insiden itu, suspek lelaki berusia 45 tahun telah memandu secara berbahaya sehingga memasuki persimpangan Subang Jaya dan merempuh sebuah kereta jenis BMW warna hitam di persimpangan lampu isyarat Persiaran Tujuan, Subang Jaya sebelum berjaya ditahan pihak polis di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, suspek lelaki mempunyai 21 rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan kedua-dua suspek direman tiga hari hingga Isnin depan,” katanya.

Shamsudin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, Seksyen 39A(1) akta yang sama dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img