Pindaan Akta MARA 1966 kritikal perkasakan Bumiputera, tutup ruang ketirisan – Zahid

DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 itu amat kritikal bagi menutup ruang ketirisan serta kebocoran dana, memandangkan MARA kini memikul amanah besar dengan nilai aset keseluruhan mencecah RM23 bilion.

Timbalan Perdana  Menteri berkata, pindaan itu  bakal berfungsi sebagai “kubu” perundangan bagi memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera kekal utuh walaupun berlaku pertukaran kepimpinan negara.

Katanya, langkah itu bertujuan meletakkan asas tatakelola dan peraturan yang lebih ketat supaya hala tuju MARA kekal konsisten dalam memartabatkan kepentingan bumiputera tanpa dipengaruhi faktor politik.

“Kita tidak mahu agenda MARA ditukar kerana bertukar kepimpinan. Kita mahu MARA terus menjaga agenda Bumiputera walau siapapun yang memimpin.

“Saya telah memberi tempoh hingga akhir tahun ini agar (draf pindaan) Akta MARA ini dipersiapkan dan dibentangkan di dalam sidang Parlimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menyasarkan MARA menjadi sebuah organisasi mandiri yang mampu menjana dana dalaman melalui pelaburan strategik tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan menjelang usia penubuhannya yang ke-100 tahun.

Terdahulu, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan berkata agensi itu kini berada di fasa terakhir bagi meneliti semula Akta MARA yang telah berusia enam dekad.

Beliau berkata langkah itu bertujuan meletakkan asas perundangan yang lebih kukuh bagi memperkasakan aspek tatakelola dan tadbir urus institusi berkenaan agar kekal berintegriti dalam jangka masa panjang.

“Aspek paling penting untuk kita pinda dan letakkan asas supaya biarpun pemimpin boleh datang dan pergi tetapi asas penting dari segi tadbir urus, dari segi tatakelola supaya tidak berlaku kecurangan, tidak berlaku pemborosan, tidak berlaku ketirisan ini dapat kita atur dengan sempurna,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata intipati pindaan akta serta pelan transformasi tersebut akan dibentangkan oleh Ahmad Zahid kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img