SEORANG wanita yang mengacukan pisau ketika menghadiri festival Rain Rave di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, diperintahkan menjalani penilaian psikiatri selama 30 hari di Hospital Bahagia Ulu Kinta.
Tertuduh, Shannon Anne-Ooi, 27, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membawa senjata berbahaya di tempat awam bagi tujuan menyalahi undang-undang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia selepas disyaki mempunyai masalah kesihatan mental.
“Mahkamah turut menetapkan 4 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial apabila satu video memaparkan orang awam bertindak menahan wanita berkenaan selepas dia mengeluarkan sebilah pisau ketika festival muzik itu berlangsung pada Sabtu malam.
Difahamkan, suspek berjaya dilucutkan senjata oleh orang awam sebelum ditahan pihak polis dan direman bagi membantu siasatan.


