Ibu tunggal maut akibat tergelincir ketika mendaki gunung

SEORANG pendaki wanita ditemukan meninggal dunia selepas tergelincir sebelum jatuh ke dalam Sungai Betis ketika mendaki di kawasan Gunung Gerah, Gunung Bilah dan Gunung Biyed, Pos Balar di Gua Musang kelmarin.

Mangsa yang berusia 56 tahun menyertai sekumpulan 11 pendaki yang memulakan aktiviti pendakian di gunung tersebut pada 1 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 3.21 petang.

Katanya, mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai ketika melalui Sungai Beris, kira-kira jam 7.30 malam, 2 Mei lalu.

“Usaha pencarian segera dijalankan oleh ahli kumpulan namun mangsa tidak ditemukan pada malam kejadian.

“Mangsa akhirnya ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi dia terjatuh dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 8 pagi, Ahad lalu dan disahkan telah meninggal dunia. Pendaki wanita itu merupakan ibu tunggal berasal dari Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurut Choon Foo, susulan kejadian itu, polis menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membawa keluar mayat mangsa.

Katanya, operasi membabitkan perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira empat jam dan diteruskan dengan berjalan hampir 10 jam ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa berjaya dibawa keluar semalam.

“Polis bersama agensi berkaitan sudah menjalankan tindakan lanjut di lokasi dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, membuat perancangan rapi serta menggunakan khidmat pemandu arah bertauliah ketika menjalankan aktiviti pendakian, terutama di kawasan hutan dan sungai yang berisiko tinggi,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img