JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menumpaskan sindiket penipuan dalam talian jenis Macau Scam yang beroperasi di ibu negara dengan menyasarkan mangsa dari India.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kejayaan itu hasil serbuan Bahagian Risikan dan Operasi ke atas sebuah premis di Kuala Lumpur pada jam 7 malam, 23 April lalu.
“Serbuan berjaya melumpuhkan operasi sindiket dengan penahanan 22 individu pelbagai warganegara.
“Mereka terdiri daripada dua lelaki warga Taiwan, 12 lelaki dan seorang wanita warga Pakistan, empat lelaki dan dua wanita warga India serta seorang lelaki tempatan berbangsa Cina,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, hari ini.
Menurutnya, sindiket berkenaan menggunakan taktik menyamar sebagai pihak berkuasa termasuk polis India bagi menakut-nakutkan mangsa.
“Mereka mendakwa mangsa terbabit dalam kes jenayah berkaitan penyebaran kandungan berunsur hasutan terhadap kerajaan India.
“Mangsa kemudian diperdaya untuk membuat bayaran kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya.
Beliau berkata, sindiket menggunakan skrip khas bagi memastikan mangsa terus terpedaya sehingga mengalami kerugian.
Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan operasi sindiket dianggarkan bernilai RM25,000 termasuk 49 telefon pintar, tiga komputer riba, sebuah iPad, peranti router WiFi, kunci rumah serta 12 salinan skrip penipuan.
“Suspek warga tempatan dibebaskan dengan jaminan polis, manakala 21 suspek warga asing ditahan semula di bawah Akta Imigresen sehingga 10 Mei ini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


