Lelaki pukul isteri hingga keguguran, kini disiasat kes tanam janin

SEORANG lelaki yang disyaki memukul isterinya hingga mengalami keguguran bulan lalu, kini disiasat pula kerana menanam janin di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ghuffran, Jalan Pegawai, Alor Setar pada 2 April lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 43 tahun itu mendapati lelaki berkenaan mengaku menanam janin terbabit dan menunjukkan lokasi kejadian pada Khamis lalu.

Menurutnya, janin berkenaan adalah kandungan isterinya berusia 12 minggu yang gugur selepas mangsa dipukul dalam kejadian di Ambangan Heights, pada tarikh sama.

“Khamis lalu, polis membawa suspek bersama isterinya yang juga mangsa berusia 39 tahun untuk menunjukkan lokasi janin itu ditanam.

“Kita turut membawa pasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk menggali lokasi tersebut dan menemui janin tidak sempurna dalam keadaan tisu kering,” katanya pada sidang media di IPK Kedah, hari ini.

Beliau berkata, sampel yang ditemui telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.

“Sekiranya disahkan ia adalah janin manusia, polis akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Adzli turut meminta mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa suspek tampil membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang juga penjawat awam cedera parah dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan keguguran kandungan berusia 12 minggu.

Mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, akibat kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk kanan dan kiri, patah tulang belakang serta bengkak dan luka di seluruh badan.

Difahamkan, mangsa dipukul menggunakan pelbagai objek termasuk penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir.

Susulan kejadian itu, suspek ditahan di sebuah inap desa di Alor Setar pada 28 April lalu sebelum direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img