PM umum penurunan kadar sewa premis perniagaan milik kerajaan mulai bulan ini

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, kadar sewa premis milik agensi kerajaan perlu diturunkan mulai bulan ini bagi membantu golongan peniaga yang terkesan dengan situasi ekonomi hari ini.

Perdana Menteri berkata, inisiatif terbaharu kerajaan itu yang mencontohi tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, penurunan kadar sewa itu juga akan diumumkan mengikut daerah-daerah.

“Terkait dengan keluhan seorang kakak di Rawang, saya berikhtiar mencari kaedah untuk mengurangkan beban mereka mengikut keupayaan kerajaan dan saya fikir langkah yang pertama yang harus kita lakukan ialah mengurangkan kadar sewa.

“Banyak kedai-kedai ini dimiliki oleh syarikat-syarikat kerajaan atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA Holdings Bhd (UDA) dan mulai bulan ini, mulai sekarang akan mengurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka.

“Ia akan diumumkan mengikut daerah dalam masa yang terdekat dan meneladani langkah DBKL yang sudah menurunkan kadar sewaan,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menyeru semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri-negeri untuk turut menurunkan kadar sewaan mulai bulan ini.

“Saya ucapkan terima kasih kerana Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) yang menyambut (perkara ini) secara positif dan kemudian dalam masa terdekat menurunkan kadar sewa semua premis perniagaan terutama bagi peniaga kecil, penjaja dan kedai-kedai makanan.

“Tentunya ini bidang kuasa PBT dan kerajaan negeri yang lain dan saya ingin menggesa mereka menurunkan kadar segera dan berkuat kuasa bulan ini juga, bagi mengurangkan tekanan dan beban yang sememangnya dihadapi oleh peniaga dan penjaja,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img