PELAKON filem Tamil, Joseph Vijay Chandrasekhar dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu esok susulan kemenangan besar parti pimpinannya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.
Menurut laporan agensi berita Asian News International (ANI), majlis angkat sumpah itu dijangka berlangsung di Stadium Tertutup Jawaharlal Nehru di Chennai, sementara Vijay dijadualkan menghadap Gabenor Tamil Nadu hari ini bagi mengemukakan tuntutan rasmi membentuk kerajaan.
Perkembangan itu hadir selepas gabenor menerima peletakan jawatan penyandang, M K Stalin, susulan keputusan pilihan raya, namun beliau diminta terus menjalankan tugas sehingga kerajaan baharu dibentuk.
Dalam keputusan bersejarah, TVK muncul sebagai parti tunggal terbesar apabila meraih 108 daripada 234 kerusi Dewan Undangan Negeri, hanya kekurangan 10 kerusi untuk mencapai majoriti mudah 118 kerusi.
Bagi melengkapkan majoriti, TVK kini dilaporkan giat mengadakan rundingan dengan beberapa parti kecil termasuk Indian National Congress serta parti-parti berhaluan kiri. Sokongan tambahan ini dilihat penting bagi memastikan kestabilan pentadbiran baharu yang bakal dibentuk.
Fenomena kebangkitan pemimpin baharu ini bukan sahaja berlaku di India, malah turut dapat dilihat di negara lain.
Vijay yang dikenali sebagai Thalapathy pernah muncul dalam beberapa filem Tamil antaranya Ghilli (2004), Thuppakki (2012), Kaththi (2014), Mersal (2017), Leo (2023)
Sebelum ini, Balendra Shah, seorang bekas penyanyi rap, mencipta kejutan apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Nepal pada Mac lalu, mencerminkan perubahan trend politik yang semakin memihak kepada figura luar arus perdana.


